Mesej Poyo dari Adialuze

Assalammualaikum w.b.t

Bismillahirrahmannirrahim ...

Thanks for those that have the time to come by to this blog whether accidentally or intentionally. Thanks a bunch!

As an introduction, I'm a wife and a daughter to a wonderful husband and family that ALLAH have lend me. Syukur, Alhamdulillah ... I'm truly feel bless always ... 24 by 7.

To be a writer one should have the gift to write ... That what 'they' say. But for me, I'm writing because I love to write. Gifted or not, I will continue to write as long as ALLAH gave me the ideas an inspirations to do so ...

I do apologize for any error or discomfort feeling that cause by my writing ...

Please drop your comment for a better me as a writer ... and please do comment in a civilize way cause I believe we all yearn for love and peace not hatred and war.

HAPPY READING ^_^

-Aidaluze-

Thursday, January 8, 2015

KISAH KAMI : BAB 18 & BAB 19

BAB 18

“MACAMANA persiapan perkahwinan kamu tu Iyah?” Kak Dina menghampiri aku yang sedang leka melayan Hakimi dengan membawa dulang berisi jus tembikai dan juga kuih donut. Perlahan-lahan gelas dan pinggan disusun rapi di atas meja kopi.

“Ok je Kak. Puan Sri dah upah Wedding Planner untuk uruskan semua. Iyah ikut je. Akak macam tak tahu. Iyah  ni bukan cerewet sangat pun” Aku terus mengagah Hakimi yang ada dipangkuanku. Mengekek-ngekek si Hakimi ketawa. Terhibur hati aku melihatnya.

“Kamu ni pelik la akak tengok. Orang lain, lagi 2-3 minggu nak kahwin, dah kelam kabut ke sana ke mari. Awak ni akak tengok dok relax je” Jus tembikai dituangkan ke dalam gelas yang tersedia. Ada riak ketidakpuasan hati terpamer diwajah kakakku yang seorang itu.

Aku hanya tersenyum. Hakimi yang sudah mula meronta minta dilturunkan aku biarkan lepas. Perlahan-lahan dia bertatih kearah Ibunya. Kak Dina meyambut tubuh debab Hakimi yang sengaja dijatuhkan apabila sudah tiba dekat dengannya. Terkekek-kekek anak kecil itu  ketawa apabila Kak Dina membenamkan muka ke kedua belah pipinya yang tembam itu.

“Kamu ni memang cuti ke hari ni?” Kak Dina mengambil tempat duduk di sebelahku. Soalan sudah berubah tajuk. Mungkin dia malas nak bertanya mengenai hal-hal perkahwinanku lagi. Bukan dia tak tahu yang perkahwinan aku ni adalah atas dasar pilihan keluarga.

“Iyah ambik cuti seminggu. Lagipun, Iyah kan memang nak berhenti. So, kerja pun memang dah tak berapa banyak kat office tu” Teringat wajah Shahrul beberapa hari yang lepas ketika dia datang kepadaku untuk meminta maaf. Sepanjang mengenalinya, itulah kali pertama aku lihat wajahnya yang monyok seperi ayam berak kapur.

Sengaja aku tak menegurnya sejak beberapa hari yang lepas sehinggalah dia sendiri datang kepadaku untuk meminta maaf. Selepas itu, segala-galanya kembali seperti biasa. Dia dan Miss Lai menghormati permintaanku agak tidak menyentuh tentang hal-hal perkawinanku ditempat kerja.

Wani yang pada mulanya agak mencuka padaku juga sudah mula kembali seperti biasa. Pada mulanya, memang dia agak marah apabila mengetahui aku bakal berkahwin dengan pemuda pujaan hatinya itu. Tapi, setelah beberapa kali dinasihatkan oleh Miss Lai dan Shahrul, dia sudah dapat menerima kenyataan.

“Ni kamu nak ikut balik kampung Abang Asyraf ni, Umi dengan Babah tau tak?” Hakimi yang sedang menyusu aku belai rambutnya. Layu saja matanya menghayati kesedapan susu Ibunya. Aku tersenyum.”Oi! Akak tanya ni. Senyum pulak dia” Kak Dina menepuk bahuku. Sedikit tersentap aku dibuatnya.”Err …. Tau. Mestilah tau. Takkan la Iyah nak ikut akak dengan abang balik Terengganu, Iyah tak bagitau kot. Issshhhkkk” Aku mengerutkan kening. Kak Dina hanya mengangguk-anggukkan kepalanya.

“Kamu dah bagitau tunang kamu ke?” Pertanyaan yang satu itu membuatkan usapan pada rambut Hakimi terhenti. Aku mengalihkan tangan dan gelas berisi jus tembikai kucapai dan hirup penuh nikmat. Tak tahu kenapa, tiba-tiba tekak terasa dahaga.”Perlu ke?” Soal aku kembali setelah habis separuh jus tembikai aku teguk.

“Hissh budak ni. Ada tanya macam tu. Perlu lah. Dia kan tunang kamu. Bakal suami kamu.” Kak Dina memandangku sekali lagi dengan pandangan tidak puashati.  Perkataan 'Bakal Suami' sengaja ditekankan sedikit. Punggung Hakimi yang sudah lena ditepuk-tepuk lembut. “Nanti-nantilah Iyah bagitau” Akhirnya aku menjawab acuh tak acuh.”Eh kak. Iyah nak pergi sembahyang Zohor dulu la. Nak tidur jap. Nanti kalau Abang Asyraf dah balik dan sedia nak bertolak bagitau la ye” Tanpa sempat Kak Dina berkata apa-apa, aku terus berlalu ke bilik tamu yang terletak berhampiran dengan dapur.

Ketukan di bilik beserta dengan panggilan namaku dari Kak Dina mengejutkan tidurku yang baru masuk minit ke 15.”Yee! Kejap” Dalam keadaan mamai-mamai, pintu bilik ku buka.”Siap cepat, 10 minit lagi kita bertolak” Kak Dina yang sedang mengendong Hakimi berkata pantas sambil berlalu dari bilik. Pintu kembali kututup. Langkah kuatur ke bilik air untuk membasuh muka agar kembali segar.

Selesai mengenakan tudung Syria berwarna turquoise dengan anak tudung berwarna kuning aku segera keluar ke ruang tamu. Beg pakaian beroda yang sememangya sudah tersedia bersebelahan kabinet tv aku capai. Telefon bimbit yang aku tinggalkan di atas meja kopi sempat kucapai dan masukkan ke dalam beg silang sebelum berlalu keluar. Semasa pintu grill kukunci, kelihatan Kak Dina sudah duduk di dalam kereta dengan Hakimi di pangkuannya.

“Mummy!” Satu-satunya panggilan dari suara yang boleh menyebabkan aku terkena lemah jantung kedengaran. Kelihatan Rania yang memakai seluar pendek berwarna putih dengan tshirt berwarna pink berlari kearahku dengan senyum lebar.

“Rania … Bila Rania sampai ni?” Aku melutut sebelah kaki dan tubuh kecil itu kupeluk erat.”Tadi lagi. Masa Mummy tidur. Daddy pun ada” Kata-kata Rania benar-benar membuatkan aku kekurangan nafas. Tidak jauh dari situ dapat kulihat Rayyan sedang berbual-bual mesra dengan Abang Asyraf. Dapat kulihat, Rayyan memunggah dua buah beg ke dalam kereta Toyota Estima Abang Asyraf. Satu besar dan satu lagi sederhana besar. Sesuatu yang agak menakutkan terlintas difikiranku.

“Iyah! Apa berdiri kat situ lagi tu? Cepatlah bawak si Rania naik kereta” Panggilan dari Kak Dina mengejutkan lamunanku. Pantas aku memimpin tangan Rania menuju ke kereta. Aku mengambil tempat duduk di belakang tempat duduk penumpang. Rania kuletakkan di tengah-tengah.

Seperti yang kuduga, Rayyan turut meloloskan diri ke dalam kereta dan mengambil tempat di belakang duduk pemandu iaitu di sebelah aku. Nasib ada Rania yang menjadi perantara. Aku leka melayan celoteh Rania tanpa memandang kearah lelaki disebelah aku itu. Kereta mula bergerak ke arah destinasinya, Dungun, Terengganu.

“Tadi masa Iyah tidur, Rayyan call. Akak angkat dan bagitau kita nak balik ke kampung Abang Asyraf. Kebetulan esok Sabtu dan Rania cuti dan Rayyan pun tengah off duty, so akak ajaklah diaorang sekali. Lagipun Isnin ni kan Public Holiday kan” Panjang Kak Dina menerangkan walaupun aku tidak bertanya. Persoalan sudah terjawab. Aku yakin semua ini mesti dah dirancang kerana aku dapat menangkap senyuman meleret dari Kak Dina melalui refleksi cermin sisi kiri.

“Ha, Rayyan. Bila ‘terbang’ lagi?” Abang Asyraf memulakan perbualan dengan bakal birasnya.”Lagi seminggu bang” Jawab Rayyan ringkas. Maka bermulalah perbualan dua orang lelaki yang aku sendiri malas ingin ambil tahu apa intipatinya. Apa yang pasti, topiknya adalah berkisar dengan Bolasepak, Politik dan juga F1. Gabungan 3 perkara yang aku kurang minati.

Rania yang berbaring di pangkuanku sudah lama terlena. Aku memandang keluar tingkap menikmati keindahan hutan disepanjang Lebuhraya Karak yang baru saja kami lalui itu. Entah bila aku turut terlena, aku pun tak sedar.

“Saf, Saf” Terasa bahuku digoyangkan perlahan. Perlahan-lahan mata ku buka. Wajah Rayyan terpempan di hadapanku membuatkan mata membulat segar. “Kita dah sampai Hentian ni. Pergilah solat dulu. Jamakkan sekali. Senang sikit kat rumah orang nanti.” Rania yang masih lena di atas riba ku tatap sebentar dan bantal kecil milik Hakimi yang dihulurkan kusambut dan perlahan kualihkan kepala Rania ke atasnya.

“Mana yang lain-lain?” Aku melangkah keluar dari kereta. Kaki yang terasa sedikit kebas kuusap-usap. Baru aku tersedar yang suasana gelap sudah menyelubungi persekitaran kami.”Diaorang pergi  solat dan makan sekali. Saya pun baru lepas solat ni. Ingat lepas awak solat, boleh lah kita makan sama-sama” Badannya disandarkan ke kereta sambil berpeluk tubuh. Tshirt hitam berleher V dan jaket kulit hitam yang dipakainya betul-betul membuatnya lebih kacak dari biasa.

“Err … Oklah. Saya pergi solat dulu” Sebelum aku terus terleka menatap kekacakan tunangan aku ini, lebih baik aku segera pergi menunaikan solat Maghrib yang aku pasti tinggal dihujung-hujung waktu saja lagi ini. Aku membetulkan Jubah kain cotton berwarna turquoise yang kelihatan agak renyuk itu sebelum melangkah ke surau yang berada di Hentian Termerloh itu.

Selang setengah jam kemudian, aku sudah siap menunaikan solat Maghrib yang aku jamakkan sekali dengan Isyak. Semasa berjalan kembali ke kereta, aku ternampak kelibat Kak Dina, Abang Asyraf dan Rayyan di meja makan yang berada berhampiran dengan kedai menjual laksa. Segera mereka aku hampiri. Kebetulan perut memang tengah lapar.

“Haa Iyah. Meh sini duduk. Rayyan dah belikan laksa untuk kamu ni” Kak Dina yang sedang memangku Hakimi yang sedang lena tidur menunjukkan tempat duduk di sebelah Rayyan yag sudah terhidang Laksa Utara yang nampak begitu menyelerakan dimataku. Tanpa banyak soal aku duduk di sebelah kiri Rayyan dan tangan sempat membelai rambut Rania yang sedang duduk di sebelah kanan Ayahnya sambil menikmati hidangan Nasi Ayam. Dia tersengih memandangku.

Tepat pukul 8.45 malam, kami menyambung semula perjalanan dengan Rayyan pula mengambilalih tugas sebagai pemandu dan aku duduk di sebelahnya .

“Kenapa awak nak ikut sekali ni?” Aku memulakan bicara setelah pasti mereka-mereka yang berada di tempat duduk belakang sudah lena dibuai mimpi. Itupun setelah aku perasan sudah beberapa kali Rayyan menguap. Aku perlu memastikannya tidak mengantuk semasa memandu. Kalau tak, hissshhh … tak dapat aku bayangkan perkara buruk yang akan berlaku kalau dia tertidur nanti. Lagipun, Lebuhraya Pantai Timur nampak agak sesak ketika ini.

“Sebab awak” Jawapan dari mulutnya membuatkan aku memandang tepat kewajahnya.”Ha?Apa?” Sengaja aku ingin dia megulangi kata-katanya untuk memastikan aku tak tersalah pendengaran.

”Sebab awak” Jawapannya untuk kali kedua tiba-tiba mengundang debar didada.”Macam yang saya pernah kata. I care about you Saf. Bukankah itu satu permulaan yang baik sekiranya saya ingin belajar untuk menyintai awak?” Pertanyaannya membuatkan aku terkedu. Tak pasti bagaimana untuk bereaksi. Akhirnya masing-masing terdiam melayan perasaan sendiri.




BAB: 19

SESAMPAINYA kami di rumah Ibu Abang Asyraf, malam sudah agak larut. Jalan yang sedikit sesak menyebabkan perjalanan kami menjadi amat panjang.

“Biarlah Rania tidur dengan saya” Rania yang masih lena dan berada dikendongan bapanya aku tatap. Kak Dina sekeluarga sudah bergerak ke bilik mereka yang terletak di sebelah bilik Tok Esah, Ibu Abang Asyraf di ruang dapur. Luas rumah Tok Esah yang setingkat ini. Menurut Kak Dina, Mak Mertuanya itu tinggal bersama adik ipar lelakinya yang bongsu, Asfar, yang bakal mengambil STPM tahun ini.

Beg Rania dan beg aku, awal-awal sudah ku masukkan ke dalam bilikku yang berada berhadapan dengan bilik Rayyan yang terletak diantara ruang tamu dan ruang makan itu.

Rayyan mengangguk, bersetuju dengan permintaanku lalu membawa Rania masuk ke bilikku. Diletaknya perlahan anak kecil itu di atas katil dan dicium penuh kasih sebelum dia bangun dan melangkah keluar.”Terima kasih Saf” Aku sendiri kurang pasti untuk apa ucapan itu diberikan tapi aku hanya tersenyum mendengarnya dan daun pintu kukatup dan palang kunci kayu yang terdapat dibahagian sisi pintu kutarik kemas.

Setelah menukar pakaian ke baju tshirt lengan panjang dan seluar palazzo berwarna hitam, aku membaringkan tubuh di sebelah Rania dan anak kecil itu aku tarik rapat ke dalam pelukanku. Mata yang sememangnya memang sudah sedia mengantuk tidak mengambil masa yang lama untuk terlena.

Aku tersedar ketika terdengar azan subuh berkumandang. Sayup-sayup kedengaran bunyi air laut menghempas pantai. Rasa tenang saja aku rasa saat ini. Wajah Rania yang masih nyenyak tidur aku tatap lama.

“Saf, bangun. Kita solat sama-sama” Kedengaran ketukan perlahan di pintu kayu bilik sederhana besar itu beserta panggilan yang sayup-sayup dari Kak Dina.”Yee kak. Kejap lagi Iyah keluar” Aku menjawab dalam nada yang tidak terlalu kuat agar tidak mengejutkan Rania.

Aku mengenakan tudung Syria berwarna hitam dengan sehelai tuala kecil dan bekas berisi peralatan peribadi untuk membersihkan diri kujinjing ditangan. Selak kayu aku buka perlahan. Sewaktu kaki melangkah keluar, serentak itu juga Rayyan terjongol keluar dari biliknya lengkap berkemeja pendek berkolar warna hijau berbelang putih dan berkain pelekat dengan lengkap songkok dikepala bersedia untuk mendirikan solat subuh.

Dia tersenyum. Aku turut mengukirkan senyuman dan terus berlalu ke bilik air yang terletak di luar rumah. Rasa sejuk mula mencengkam ketika aku melangkah keluar menuju ke bilik air yang berada lebih kurang 20 tapak dari beranda rumah Tok Esah itu. Menggigil aku dibuatnya. Ini belum lagi terkena air. Kalau kena air mahu beku aku ni. Aku berbicara dalam hati.

Selesai solat berjemaah, aku, Kak Dina dan Tok Esah terus bergerak ke dapur untuk menyediakan sarapan pagi.

“Adik kamu ni, mak nak panggil apa Dina?” Tok Esah yang sedang membasuh beras nasi dagang bertanya pada Kak Dina yang sibuk menyiang ikan tongkol di sebelahnya.”Panggil Saf pun boleh, panggil Iyah pun boleh mak” Sahut Kak Dina sambil memandang sekilas ke arahku yang sedang memotong timun dan lobak merah untuk dibuat acar.”Oooh …kalau macamtu, mak panggil Iyah je la. Senang la sikit lidah kampung mak ni nak menyebutnya” Aku tersenyum mendengar kata-kata Tok Esah.

“Kamu biasa ke makan nasi dagang ni Iyah?” Beras yang sudah siap di basuh telah sedia dimasukkan ke dalam pengukus untuk dikukus buat kali pertama. “Makan tu biasalah Tok. Tapi kalau buat sarapan tu memang tak pernah lagi. Biasanya makan masa tengahari je” Aku menjawab ramah. Kak Dina kulihat sedang sibuk merebus ikan tongkol untuk dibuat gulai.”Kami kat sini kalau tak makan nasi pagi-pagi ni memang rasa pelik” Tok Esah ketawa kecil. Dia sudah beralih ke mesin memarut kelapa.

“Eh Mak. Biar Asfar yang parut kelapa tu. Mak tu bukan kuat sangat. Nanti terkena pulak tangan tu” Seorang remaja lelaki yang berbaju tshirt merah dan berseluar tracksuit dengan rambut terpacak ala k –pop tiba-tiba muncul menghampiri Tok Esah yang baru menghidupkan mesin pemarut kelapa.”Eloklah sangat lah kamu nak menolong ni. Sudahlah bangun lambat. Subuh entah buat entahkan tidak tu” Tok Esah meleteri anak bongsunya sambil menepuk bahu anak bongsunya itu. Asfar hanya tersengih memandang Ibunya.

Sedang aku leka menyediakan acar untuk dihidangkan bersama nasi dagang, aku terasa seperti diperhatikan. Apabila aku mengangkat kepala, mataku tertangkap Asfar sedang mencuri-curi pandang kearahku. Dia cepat-cepat melarikan pandangan pada kelapa yang sedang diparutnya apabila aku memandangnya. Eh. Dah kenapa adik Abang Asyraf ni? Aku tahulah aku ni comel. Tapi, tak payah lah nak curi-curi pandang macam tu. Perasaan yang terlebih perasan mula bertandang dalam hati. Gerak tubuh anak muda itu mengundang kerutan didahiku.

Jam 10 pagi selesailah juga hidangan nasi dagang hasil kerja tangan kami bertiga. Tikar mengkuang dihamparkan di atas lantai memandangkan kerusi makan yang ada tak cukup menampung bilangan kami yang ramai ini. Bagus juga dapat makan macam ni sekali sekala. Rasa lebih mesra. Semua orang duduk bersimpuh dan bersila mengelilingi juadah yang sudah tersedia.

Rania seperti biasa, mengambil tempat di sebelah aku. Paling aku tak sangka apabila Rayyan turut mengambil tempat di sebelah aku. Bukan di sebelah Rania seperti kebiasaannya. Sudahlah Asfar yang duduk berhadapan denganku kerap mencuri pandang kearahku. Ini Rayyan pulak duduk bersila betul-betul di sebelahku. Selera makanan aku yang tadinya membuak-buak apabila terhidu keharuman nasi dagang Tok Esah, tiba-tiba jadi terbantut. Ini semua gara-gara Rayyan dan Asfar. Tensionnya aku dibuatnya! Wahai lelaki, tolonglah jangan buat aku begini!

Hakimi dan Rania yang sedang asyik bermain bersama di beranda aku perhatikan dengan khusyuk. Sesekali, tercetus gelak Rania bila Hakimi mengekek ketawa apabila diagahnya. Aku turut sama tersenyum.

“Hai”  Kedengaran seseorang menyapa dan dari ekor mata dapat kulihat sesusuk tubuh mengambil tempat duduk tidak jauh dariku. Aku memalingkan muka untuk melihat siapa gerangan yang empunya suara. Buntang mataku memandang Asfar yang duduk dihujung sofa 3 seater yang sedang aku duduki.”Err … Hai” Pandangan ku kembali tertumpu pada Hakimi dan Rania.

“Budak perempuan ni adik awak ke?” Soalan dari Asfar membuatkan aku sedikit tersentap. Adik? Muka aku ni nampak macam muda sangat ke? ”Comel macam kakaknya” Tanpa aku sempat menjawap terdengar ayat pujian yang menyusul, membuatkan lidah aku semankin terkunci.

Eh. Biar betul si Asfar ni? Baru 19 tahun kot usianya. Nak mengayat aku la pulak. Issskkk. Tudung di kepala aku perbetulkan walaupun rasanya dah memang terletak elok dikepalaku. Rasa sedikit janggal bila ada budak bawah umur cuba mengorat.”Awak suka laut tak? Jom saya bawak awak pergi tengok laut” Aduh. Berani sungguh budak Asfar ni mengorak langkah. Aku masih terdiam.”Err … Takpela. Saya kena jaga budak berdua ni” Aku mereka alasan.

“Ha kat sini rupanya. Puas saya cari tadi” Belum sempat Asfar membuka mulut untuk bersuara lagi, kedengaran suara garau Rayyan menyampuk. Dia yang baru muncul dari arah dapur mengambil tempat diantara aku dan Asfar membuatkan  remaja itu terus terdiam. Aku memandang Rayyan sambil tersenyum.

Dapat kulihat Asfar terus bangun dengan muka sedikit kelat dan terus melangkah keluar. Motosikal di bawah pokok rambutan di hadapan rumah ditunggangnya  dan terus dipecut laju entah kemana.

“Sekolah belum habis, dah pandai nak mengorat anak dara orang. Tunang saya pulak tu. Silap orang lah dia nak kacau” Rayyan mendengus geram sebaik sahaja Asfar hilang dari pandangan kami. “Awak ni.  Nama pun budak kan. Lagipun, manalah dia tahu saya ni tunang awak” Aku bangun dan mengalih tempat duduk di atas permaidani sekali dengan Hakimi dan Rania.”Takkanlah awak cemburu kot” Tiba-tiba terlintas difikiran aku untuk mengujinya. Wajahnya ku pandang. “Kalau saya cemburu pun, salah ke?” Dia bersuara tenang. Aku terperangkap dengan pertanyaan aku sendiri. Pandangan kami berpaut seketika.

“Ehem! Ehem!” Suara Tok Esah yang berdehem membuatkan aku cepat-cepat mengalih pandangan kepadanya sambil tersenyum malu. “Eh … Err … Tok  Esah” Terasa pipiku membahang.”Hai bakal pengantin ni. Pantang tinggal berdua. Asyik main mata je” Kak Dina yang ada sama mula mengusik. Hakimi mula bangun dan bertatih kearah Ibunya yang baru hendak mengambil tempat duduk di atas sofa tidak jauh darinya. Tok Esah yang duduk di sebelah Kak Dina turut tersenyum. Aku hanya menundukkan kepala menahan malu. Kantoi lagi! Ini semua Rayyan punya pasal! Dengusku dalam hati.
 

1 comments:

 
ADIALUZEONLINENOVEL : WHERE DREAMS CAME TRUE Blogger Template by Ipietoon Blogger Template